Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

36 warga Bangladesh pengikut gerakan pengganas ditahan di Selangor, Johor


Putrajaya: Seramai 36 lelaki warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis Islamic State (IS) ditahan menerusi operasi besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi keselamatan terancang yang bermula pada 24 April lalu dilaksanakan dalam tiga fasa tangkapan di sekitar Selangor dan Johor.


Menurutnya, dalam operasi terbabit, lima daripada mereka dikenal pasti terbabit mengikut Bab VIA Kanun Keseksaan dan didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru.

"Manakala 15 individu lagi dikenakan perintah pengusiran manakala 16 individu sedang disiasat lanjut terkait pembabitan mereka dalam gerakan militan ini.

"Hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas, PDRM mendapati bahawa kumpulan ini membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi IS ke dalam negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka malah mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

"Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

"Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Saifuddin berkata, kejayaan itu juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam.

"Saya ulangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan, serta bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.

"Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan," katanya.