Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Bunuh Manisha: Seorang ahli keluarga mendiang pula meninggal dunia


Kuala Lumpur: "Saya tidak tahu bagaimana nak respons, kami dikejutkan dengan kehilangan seorang lagi saudara pagi ini," kata Datuk Rajpal Singh mengenai penahanan tiga suspek pembunuhan anak saudaranya yang juga penuntut sebuah universiti tempatan di Cyberjaya, Sepang.

Rajpal yang juga peguam berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan anak saudaranya itu.


"Saya dapat tahu mengenai penangkapan suspek itu melalui laporan berita. Saya belum sempat berhubung dengan pegawai penyiasat kerana menguruskan kematian.

"Saya berterima kasih dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun berita penahanan suspek itu mampu memberi sedikit kelegaan, namun Rajpal berkata, keluarganya masih bersedih apabila seorang lagi saudara meninggal dunia, selepas tiga hari kematian Manisha.

Beliau berkata, adik saudara perempuan berusia 57 tahun meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas kira-kira 3 pagi ini.

"Dia datang dari Johor Bahru untuk urusan kematian Manisha. Saya dapat panggilan beritahu adik saudara saya itu tidak sihat dan minta dibawa ke hospital.

"Namun, dia kemudian disahkan meninggal dunia. Saya tidak pasti apa punca kematiannya tapi mungkin dia terlalu penat dan stress (tertekan).

Beliau berkata, mayat mendiang adik saudaranya itu akan dibawa ke krematorium di Jalan Loke Yew di sini, iaitu lokasi sama pengurusan mendiang Manisha semalam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan seorang lelaki dan dan dua wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan penuntut universiti di Mutiara Ville di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, operasi dijalankan Polis Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Katanya, tangkapan dilakukan dalam tempoh kurang 48 jam selepas laporan polis diterima.