![]() |
Sebuah pertubuhan media di India membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya berhubung ketegangan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan.
Firstpost mengkritik kedua-dua Iran dan Malaysia kerana menawarkan diri menjadi pengantara, dengan alasan bahawa kedua-dua negara itu tidak berkecuali - justeru, tidak layak - untuk bertindak sebagai broker keamanan.
"Sama juga dengan Malaysia. Perdana menteri mereka kata dia 'memahami kesukaran Pakistan'. Betapa tidak masuk akal itu?
"Serangan pengganas berlaku di India, tetapi Malaysia memahami kesukaran Pakistan... Ini bukan pengantara bebas; mereka kerap memihak Pakistan," kata wartawan Palki Sharma.
Katanya, Malaysia jelas tidak mengiktiraf kedaulatan India ke atas Jammu dan Kashmir apabila Anwar menyebut wilayah berkenaan sebagai "Kashmir yang ditadbir oleh India".
Sharma juga menegaskan bahawa India tidak memerlukan orang tengah, sambil mengulangi pendirian lama New Delhi bahawa Kashmir adalah isu dua hala - yang perlu diselesaikan secara eksklusif antara India dan Pakistan.
Dia juga merujuk kenyataan Menteri Luar India S Jaishankar yang ditujukan kepada negara-negara Eropah berkaitan Iran dan Malaysia.
"Apabila kita melihat dunia... kita mencari rakan kongsi. Kami tidak mencari pendakwah, terutamanya pendakwah yang tidak mengamalkan di negara sendiri apa yang mereka dakwah di luar negara," kata Jaishankar.
Dalam catatan di Facebook semalam, Anwar berkata Malaysia tetap terbuka untuk menyumbang secara konstruktif, sekiranya keadaan memerlukan.
"Kami percaya hubungan rapat dengan Pakistan dan India meletakkan Malaysia dalam kedudukan untuk menyokong usaha ke arah keamanan dan kestabilan serantau," tulisnya.
Dalam kenyataan sama, Anwar mendedahkan bahawa Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif telah menangguhkan lawatan rasminya yang dijadualkan ke Malaysia pada Jumaat ini berikutan krisis di Kashmir yang semakin meruncing.
"Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu," katanya.
Ketegangan antara India dan Pakistan semakin memuncak berikutan serangan pengganas pada 22 April, yang meragut 26 nyawa.