Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ismail Sabri disiasat selama enam jam


PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beredar meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih enam jam memberikan keterangan hari ini.

Ismail Sabri yang menaiki kenderaan sedan berwarna hitam itu keluar dari perkarangan SPRM pada jam 5.05 petang diiringi kenderaan polis.


Terdahulu, Ismail Sabri dilihat tiba pada jam 10.55 pagi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Kehadiran beliau ke ibu pejabat SPRM hari ini adalah kali kelapan berhubung siasatan mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri Kesembilan dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan SPRM terhadap kes membabitkan Ismail Sabri itu dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.

Kali terakhir Ahli Parlimen Bera itu dipanggil tampil ke pejabat SPRM adalah pada 24 April lalu, bagi proses soal siasat dan memberi keterangan lanjut buat kali ketujuh bagi pengisytiharan harta kepada pegawai penyiasat SPRM.