Pemuda MCA hari ini memfailkan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan ketidakwajaran dalam pelaksanaan projek MyKiosk di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong mengetuai penghantaran laporan itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bersama beberapa wakil Pemuda dan Beliawanis MCA.
Menurut mereka, laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap projek berkenaan, yang sebelum ini mencetuskan persoalan awam mengenai ketelusan dan tatakelola pelaksanaannya.
Rakaman video kenyataan Chong kepada media di luar pekarangan ibu pejabat SPRM turut dimuat naik di laman Facebook rasmi MCA.
Dalam video itu, dia dilaporkan berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal apabila menteri KPKT, Nga Kor Ming menuduh MCA cuba memporak-perandakan kerajaan Perpaduan dengan isu tersebut.
“Isu ini bukan Pemuda MCA yang cakap, tapi kita menerima banyak laporan daripada orang ramai dan pendedahan yang dibuat oleh akhbar-akhbar tempatan.
“Banyak pautan berita mengatakan terdapat banyak MyKiosk tidak digunakan secara baik dengan alasan mungkin sebelum ini ada orang sewa, tetapi dikatakan duduk di situ tidak sesuai, lokasi tidak strategik atau duduk dalam itu panas.
“Untuk fasa pertama, mungkin tenaga solar tidak mencukupi, hanya boleh tahan empat jam dan pelbagai alasan lagi. Keberkesanan projek ini dipertikai ramai orang,” katanya.
Semalam, KPKT berkata, pihaknya akan membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu mengenai projek MyKiosk.
Nga berkata dia telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk mengesan individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan.
Katanya, aduan kepada MCMC itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Nga, tender bagi projek MyKiosk@KPKT dibuat secara telus dan semua 795 kontraktor terlibat dalam pemasangan dilantik oleh 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Mengenai dakwaan kos model MyKiosk yang tinggi, Nga berkata ia wajar kerana gerai MyKiosk 2.0 telah ditambah baik dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan antaranya panel suria dan bateri tahan lama, lampu LED, lampu LED latar, papan tanda LED, bateri mudah alih, rak mudah laras, kipas, tingkap hidraulik dan penebat haba bumbung.
"Lagi satu, mengenai kos RM25,000 untuk satu gerai MyKiosk 2.0, itu adalah harga siling yang KPKT tetapkan. Jadi kontraktor perlu menawarkan harga lebih rendah daripada ditetapkan kementerian," katanya.
Dia berkata statistik terkini menunjukkan jumlah pengisian MyKiosk 1.0 adalah 87.74 peratus atau 2,798 unit telah disewa manakala MyKiosk 2.0 pula, pengisian peniaga adalah 65.44 peratus atau 2,653 unit telah disewa.
Projek MyKiosk@KPKT merupakan inisiatif kementerian untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa.
-Malaysiakini