Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bertanding kerana berita Rafizi dah sediakan surat letak jawatan -Izzah


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui gesaan untuk beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu berlaku susulan 'berita' bahawa Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil cuti dan sudah mengosongkan pejabatnya, ketika menuju pemilihan parti.

Nurul Izzah berkata, berikutan kemungkinan kekosongan kepimpinan itu menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan PKR wujud gesaan supaya beliau menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden.


"Tatkala saya menerima berita bahawa Rafizi mengambil cuti dan sudah mengosongkan pejabatnya, saya ketika itu masih berada di India bagi menghadiri jemputan sebuah persidangan antarabangsa.

"Kepimpinan parti turut dimaklumkan mengenai sepucuk surat peletakan jawatan yang sudahpun disediakan.

"Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden sekali gus menambahkan keresahan mengenai potensi kekosongan kepimpinan," katanya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.

Nurul Izzah akan berdepan Rafizi yang juga penyandang Timbalan Presiden PKR pada pemilihan yang berlangsung Sabtu ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan Rafizi akan meletakkan jawatan selepas mengambil cuti sebagai menteri Kabinet ketika musim pemilihan berlangsung.

Pada masa sama, Nurul Izzah berkata, gesaan untuk dirinya bertanding disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti.

Beliau berkata, kebimbangan kekosongan jawatan itu juga timbul susulan beberapa siri kekalahan pada peringkat cabang yang membabitkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi, serta pimpinan lain pada peringkat akar umbi.

"Hanya pada hari terakhir penamaan calon, Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya menyambut seruan yang diberikan," katanya.

Nurul Izzah mengakui kritikan Rafizi terhadap keputusan pemilihan cabang 'mencerminkan suara banyak cabang yang menyaksikan perubahan terhadap status quo'.

Beliau berkata, setiap kebimbangan dan isu yang dibangkitkan oleh calon mesti disemak dan ditangani dengan teliti oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP).

"Walaupun audit antarabangsa sudah dijalankan bagi menyiasat kebimbangan yang dibangkitkan, ia amat penting untuk penambahbaikan terhadap proses pemilihan dilaksanakan bagi menjawab kebimbangan itu dan mengurangkan defisit kepercayaan yang wujud.

"Langkah tegas sebegini serta penambaikan lanjutan penting dalam membantu mewujudkan budaya kebertanggungjawaban, ketelusan dan perpaduan, nilai yang sering ditekankan oleh kepimpinan tertinggi parti," katanya.

Jika diberikan amanah terbabit, Nurul Izzah berkata, beliau terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan Rafizi demi memperkukuhkan parti.

"Begitu juga sebaliknya, andai mandat diberikan kepada Rafizi, beliau akan tetap bersama, mendukung usaha membina PKR yang lebih kuat dan bersatu.

"Saya tahu kita punyai perbezaan pendapat. Namun hakikatnya, kita juga berkongsi begitu banyak persamaan daripada segi cita-cita dan semangat perjuangan. Rafizi akan sentiasa menjadi sahabat saya. Kita pernah bersama melawan kebobrokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita berjuang demi reformasi.

"Kita tidak punya apa-apa seperti apa yang kita ada pada hari ini, tetapi saat itu, kita tahu kita sedang melakukan sesuatu yang penting dan bermakna, dengan kelapangan yang sentiasa mengisi hati kita, walau ranjaunya di mana-mana.

"Dalam kita berhadapan dengan cabaran dalaman dan dilema sebagai sebuah parti dalam kerajaan, kita perlu menyatukan kekuatan yang membawa kebaikan. Kita raikan kepelbagaian ini, selagi mana semangat perjuangan reformasi terus dibawa," katanya.

Nurul Izzah berkata, beliau bersetuju bahawa dirinya dan Rafizi harus menjauhi budaya berpuak, atau kecenderungan kepada sanjungan dan kepentingan diri dengan juga merangkul kekuatan yang tidak semestinya menyokong mereka.

'