Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anwar persoal, mengapa obses terhadap Najib yang berada dalam penjara




Anwar Ibrahim mempersoalkan "ketaasuban" sesetengah yang jelas terhadap skandal 1MDB dan bekas perdana menteri, Najib Razak – yang kini mendekam dalam penjara – ketika masih ada banyak lagi kes berkaitan rasuah yang melibatkan kerugian bernilai berbilion-bilion ringgit.

Bercakap dalam program 101 East terbitan Al-Jazeera, Perdana Menteri – yang menegaskan sikapnya kekal dalam isu 1MDB – turut menegaskan terdapat berbilion-bilion ringgit lagi yang “dicuri” oleh para pemimpin lain.


"1MDB satu kes besar sedang berjalan. Ia berterusan. Tetapi mereka yang taasub dengan Najib dan 1MDB saja, saya tidak berkongsi (sentimen dengan mereka).

“Jika anda mendengar mereka, (seolah-olah) satu-satunya masalah di Malaysia ialah Najib dan skandal 1MDB.

“Saya beritahu anda, ya (Najib) sebahagian daripada skandal itu. Bukan Najib saja sebagai perdana menteri, ada perdana menteri lain sebelum dia, menteri kewangan lain sebelum dia, selepas dia, kejar mereka!

“Mengapa lindungi sesetengah orang? Mengapa ada obsesi ini...?" kata Anwar.

Wartawan yang menjadi hos program itu, Mary Ann Jolley, kemudian mencelah bahawa skandal 1MDB adalah salah satu kes kleptokrasi terbesar yang diketahui dunia setakat ini.

Anwar, bagaimanapun, dengan pantas menambah: “Daripada apa yang anda tahu Mary!”

Proses sewajarnya sedang berjalan

Tambah Anwar yang juga menteri kewangan, ketika ini dia menjadi perdana menteri justeru tahu lebih banyak lagi maklumat berkaitan skandal negara.

“Dan ya, saya katakan 1MDB adalah skandal kewangan yang sangat besar, tetapi terdapat ada berbilion lain yang dicuri yang mesti diselesaikan," katanya.

Dalam program yang bersiaran selama 25 minit itu, Anwar sekali lagi mempertahankan tindakannya menyerahkan permohonan pengampunan Najib kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sambil menegaskan bahawa dia tetap akan berdepan kritikan walau apa pun mengambil tindakan sebaliknya.

Tanpa mengira pendapat umum, kata Anwar, dia hanya mempertahankan hak perlembagaan seorang banduan dengan bertindak sebegitu.

"Anda akan dikecam jika melakukannya anda tetap dikecam jika tidak berbuat begitu. Akhirnya anda hanya melakukan perkara yang betul," katanya.

Tambah Anwar, dia pernah mengalami pemenjaraan selama bertahun-tahun sama ada di bawah kerajaan Dr Mahathir Mohamad atau Najib.

Namun, kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, ia perlu dilihat lebih daripada sekadar itu kerana ia adalah suatu “penyakit”.

"Isunya ialah, maafkan saya, mengapakah obses terhadap lelaki yang berada dalam penjara ini? Demi Tuhan, dia berada dalam penjara! Dan mereka yang merompak berbilion-bilion masih bebas.

"Mengapa obses terhadap Najib sedangkan anda mempunyai banyak kes lain juga?

“Adakah kita telah menghentikan pendakwaan? Tidak. Adakah kes itu berhenti? Tidak Adakah kes itu sedang berjalan? Ya. Okay, teruskan! Bagaimana dengan yang lain?," kata Anwar.

Menjelang akhir temu bual, Anwar juga membidas pengkritiknya, terutamanya yang disifatkannya sebagai suara "kononnya progresif" tetapi taasub kepada kes Najib dengan menegaskan bahawa proses yang sewajarnya sedang diteruskan.

"Saya fikir ia adalah helah terang-terangan dan jahat oleh beberapa penyangak yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan," katanya.