KENYATAAN MEDIA
NAIB PRESIDEN UMNO
ABDUL HADI TIDAK IKHLAS JALIN SEMULA KERJASAMA DENGAN UMNO
Saya ingin mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bersedia untuk menjalin semula kerja sama dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presiden UMNO, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi saya kenyataan Tan Sri Abdul Hadi itu tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja dan saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.
Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan Presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh.
UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika PAS berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan Presiden kami.
Ini kerana UMNO meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.
Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat.
Dalam pada itu, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah PAS.
Cuma kalau PAS benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, kita boleh berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Tan Sri Abdul Hadi.
PAS jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, PAS tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.
Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO.
Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail
Naib Presiden UMNO
15 September 2024