Sengaja cari penyakit, MHO terpaksa bela diri atas tuduhan fitnah terhadap Dr Mashitah
Labels:
Isu Semasa
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan memfailkan pernyataan pembelaan susulan saman difailkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata tindakan itu akan dibuat dalam masa terdekat.
"MHO sentiasa bersedia (menghadapi saman).
"Kita akan failkan pernyataan pembelaan untuk menjawab segala kenyataan beliau (Mashitah) di dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan dan diserahkan kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas saman difailkan Mashitah terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua individu berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah mengaitkan Mashitah dengan jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar.
Mashitah, 60, memfailkan saman menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 9 September lalu dengan menamakan Pengerusi MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, 45, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, bekas Ahli Parlimen Baling yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Hishamuddin memuat naik, menyiar, menerbit dan menyebarkan satu video kenyataan media berserta kapsyen "Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar" yang dibuat ketiga-tiga defendan menerusi akaun Facebook "Hishamuddin Hashim" pada 28 Ogos lalu.
Dakwanya, pada hari sama, Azirul Syafiq dan MHO memuat naik, menerbit dan menyebarkan satu kenyataan media bertulis oleh MHO yang disediakan oleh Hishamuddin bertarikh 26 Ogos, berkaitan video terbabit dalam akaun Facebook MHO dan akaun TikTok milik Azirul Syafiq.
Mashitah berkata keesokannya iaitu pada 29 Ogos, Hishamuddin memuat naik, menyiar, menerbit dan menyebarkan suntingan video itu dengan kapsyen "Sidang Media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang merupakan antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy Myanmar.
Beliau berkata, melalui video itu, MHO dan Hishamuddin menunjukkan beberapa keping gambarnya yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan.
Selain itu, Mashitah mendakwa Hishamuddin dan MHO memuat naik, menerbit dan menyebarkan satu hantaran fitnah di Facebook milik dua defendan itu pada 3 September.