Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Michelle Yeoh pelakon Asia pertama terima Pingat Kebebasan dari Presiden AS


Bintang Hollywood dan pelakon terkenal Malaysia, Michelle Yeoh, menerima Pingat Kebebasan Presiden daripada Presiden Joe Biden hari ini.

Majlis yang diadakan di Rumah Putih pada pagi tadi (waktu Malaysia) menandakan satu detik bersejarah apabila Michelle menjadi pelakon Asia pertama menerima penghormatan tertinggi negara tersebut.


Rumah Putih dalam pengenalannya menyifatkan Michelle sebagai seorang daripada pelakon paling terkenal pada masa ini, dan selama empat dekad memecahkan stigma serta stereotaip untuk membina kerjaya yang cemerlang sebagai salah seorang penghibur paling serba boleh di dunia.

“Menjadi warga Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) sebagai pelakon wanita terbaik, usahanya untuk memajukan kesaksamaan jantina, isu pemuliharaan dan kesihatan global telah dirasai di seluruh dunia.

"Sama ada sebagai penghibur atau perintis, Michelle Yeoh terus memperkaya budaya AS dan memberi inspirasi kepada kami untuk mempercayai kemungkinan dalam filem-filem dan seterusnya," kata Rumah Putih semasa Biden menganugerahkan pingat tersebut.

Acara itu turut disiarkan secara penstriman langsung di laman Facebook The White House.

Kemenangan bersejarah Michelle di Oscar 2023 untuk peranannya dalam filem Everything Everywhere All At Once mengukuhkan statusnya sebagai pelopor dalam industri hiburan.

Dia merupakan seorang penyokong vokal untuk pemuliharaan alam sekitar dan tujuan kemanusiaan, menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran dan mendorong perubahan positif pada skala global.

Selain pencapaian sinematiknya, usaha kebajikan Michelle juga mendapat pujian meluas.

Michelle sebagai duta pertukaran budaya dan persefahaman menunjukkan nilai keterangkuman, empati dan daya tahan yang mentakrifkan semangat Pingat Kebebasan Presiden.

Selain Michelle, 18 individu lain turut dianugerahkan penghormatan berprestij itu.

Mereka termasuk Ellen Ochoa, wanita Hispanik pertama di angkasa dan Jim Thorpe, atlet legenda juga Orang Asli AS pertama memenangi pingat emas pada Olimpik 1912.

- Bernama