Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerajaan mula potong subsidi minyak bulan depan, lapor Malaysiakini



Menurut laporan dari Malaysiakini, kerajaan akan memulakan pemotongan subsidi bahan api pada bulan depan, dengan diesel menjadi bahan pertama yang diapungkan harga mengikut kadar pasaran, menurut satu laporan.

Memetik sumber mereka, akhbar Singapura The Straits Times mendakwa ia akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu selepas PRK Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan 11 Mei ini.


Selepas diesel, harga runcit petrol akan dinaikkan secara berperingkat, menurut laporan itu lagi.

"Persoalannya sentiasa berkenaan bila dan bagaimana kita akan memotong subsidi. Perdana menteri mahukan ia (dilaksanakan) paling lewat pada Jun, jadi kita perlu cepat putuskan bagaimana (pelaksanaannya)," kata sumber itu yang merupakan pegawai tinggi kerajaan.

Menurut laporan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memberitahu yang kenaikan harga akan berlaku "tidak lama lagi", namun tidak menyatakannya secara spesifik.

Menurut portal Malaysiakini, mereka telah meminta pengesahan dan maklum balas daripada Fuziah dan pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Kerajaan merancang untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk bahan api. Pada masa ini, setiap warga Malaysia - tanpa mengira latar belakang kewangan mereka - layak untuk membeli petrol dan diesel bersubsidi untuk kegunaan peribadi.

Pada Februari tahun lalu, Ahmad Maslan yang ketika itu timbalan menteri kewangan berkata kerajaan dapat menjimatkan RM17 bilion jika golongan berpendapatan tinggi, atau T20, tidak menikmati subsidi bahan api.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan RM50.8 bilion untuk subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022, dengan 35 peratus daripadanya dinikmati golongan T20.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula sebelum ini dilaporkan berkata program subsidi bersasar untuk petrol RON95 akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini. 

sumber: MalaysiaKini