Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Cawangan baru KK Mart di Kuantan pula 'dibom'


KUANTAN, 30 Mac (Bernama) -- Satu lagi cawangan KK Mart dibaling bom petrol atau ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran kecil di hadapan pintu masuk kedai serbaneka itu awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataan berkata kejadian berlaku pada 5.14 pagi di KK Mart Sungai Isap di sini dan disedari oleh kakitangan kedai terbabit.


Beliau berkata kebakaran yang dilakukan oleh individu tidak dikenali itu telah menyebabkan empat rak jualan serta beberapa barangan jualan rosak.

Katanya semasa kejadian, dua kakitangan berada di dalam kedai dan seorang daripadanya sempat mengambil alat pemadam api serta menghalang kebakaran daripada terus merebak.

“Ketika itu, seorang pekerjanya yang berada di kaunter dan sedang bersahur terkejut kerana secara tiba-tiba ada balingan molotov cocktail dari luar premis dan betul-betul jatuh di atas karpet laluan masuk KK Mart sehingga tercetus kebakaran kecil.

“Saksi panik dan terus mengambil alat pemadam api lalu cuba memadamkannya. Tiada kemalangan jiwa berlaku dan ekoran kejadian ini kedai serbaneka tersebut mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM500 akibat perbuatan khianat tersebut,” katanya.

Beliau berkata cawangan itu baru beroperasi dua minggu dan siasatan akan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis bersebelahan bagi mengenal pasti atau mendapatkan maklumat tambahan berkaitan suspek.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang terkait dengan kedai serbaneka KK Mart sebelum ini hingga suspek melakukan perbuatan khianat tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Forensik D10 IPK Pahang turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian,” katanya.

Sebelum ini cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak dibaling bom petrol.