Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu KK Mart di bom, MB Pahang nasihat jangan bertindak di luar undang-undang


KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR PAHANG

ISU KK MART: RAKYAT PERLU BERTENANG, SERAH KEPADA PIHAK BERKUASA

Saya mengambil maklum mengenai satu insiden sebuah kedai serbaneka KK Mart Cawangan Sungai Isap, Kuantan yang dilempar molotov cocktail kira-kira pada jam 5.14 pagi tadi.

Saya juga tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku awal pagi tadi berunsur khianat atau provokasi yang bertujuan mencetuskan ketidakselesaan di kalangan masyarakat.


Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas insiden tersebut.

Saya berharap rakyat di negeri ini bertenang dan memberi keyakinan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat tindakan susulan berhubung insiden ini.

Saya juga mengingatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang terutamanya berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah seperti yang berlaku di KK Mart Bandar Sunway, Petaling Jaya beberapa minggu lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, telah menzahirkan kemurkaan serta menitahkan tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti bersalah.

Sekian, terima kasih.

YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
30 Mac 2024