Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pemandu ditarik, diikat dan dipukul orang awam hingga mati dekat Semenyih



Kajang: Seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku semalam, selepas lelaki berusia 42 tahun terbabit yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.


Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, di sini sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat pada 9.20 malam mengenai kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2.

Katanya, siasatan awal mendapati Proton Saga berwarna kelabu dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan, manakala mangsa terbaring di atas jalan dengan kesan pergelangan tangan seperti diikat.

"Pihak ambulans yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, terdapat saksi di kawasan perumahan memaklumkan melihat mangsa yang terbabas, ditarik keluar daripada kereta oleh sekumpulan lelaki dan mangsa dipukul.

"Kemudian, tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan, namun apabila kenderaan Peronda Polis (MPV) tiba, semua individu di lokasi mulai beredar.

"Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurutnya, beberapa sampel darah termasuk termasuk kesan cap jari diambil dan turut dirampas dua utas gumpalan tali warna hijau/coklat untuk siasatan lanjut.

"Bertindak atas maklumat dan siasatan, polis menahan lima lelaki berusia 25 hingga 52 tahun pada 2.05 pagi tadi di sekitar Semenyih dan Beranang.

"Semua tangkapan direman lima hari sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurut Zaid, bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan di Hospital Serdang hari ini dan setakat ini, kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan pertama yang berlaku berdekatan tempat kejadian.

"Mangsa melarikan diri dan dikejar oleh orang awam tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan mengenai kemalangan pertama.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang) dan Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013," katanya.