Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua Bahagian UMNO diarah kumpul sejuta tandatangan untuk tolong Najib


KUALA LUMPUR: Ketua UMNO bahagian di seluruh negara diarahkan mengumpul sejuta tandatangan bagi petisyen akan dikemukakan parti itu dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata arahan itu disampaikan kepada semua ketua UMNO bahagian pada perjumpaan tertutup Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama ketua-ketua bahagian, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.

Beliau berkata, Ahmad Zahid mengarahkan tandatangan semua ahli parti itu di seluruh negara dikumpulkan segera, dengan diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan.


"Ya (ada arahan sedemikian). Ia khusus untuk rayuan pengampunan (penuh bagi Najib) yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sejuta tandatangan itu membabitkan semua ahli UMNO daripada 191 bahagian," katanya kepada BH, hari ini.

Pada perjumpaan itu, Gulam Muszaffar berkata, Ahmad Zahid turut meminta semua pihak dalam UMNO terus bersolidariti ke arah mendapatkan pembebasan penuh untuk Najib.

"Maksudnya, semua ahli (UMNO) perlu senada dalam isu ini," katanya.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib.

Menurut kenyataan dikeluarkan, mesyuarat khas itu turut bersetuju pembelaan berkenaan adalah sesuai dengan laras undang-undang negara, selain berpegang pada keputusan Perhimpunan Agung UMNO berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri itu.

Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang turut menghadiri mesyuarat khas itu pula dilaporkan berkata, parti berkenaan akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim, bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presidennya itu.

Lokman dipetik berkata, UMNO akan menganjurkan kempen mengumpul tandatangan ahlinya di seluruh negara dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh diraja untuk Najib.

Ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan tertutup pada petang tadi pula, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti berkenaan menuntut semua pihak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan kerana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi dipetik berkata, seluruh kepimpinan UMNO termasuk pada peringkat bahagian, sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap Najib sebagaimana ditetapkan pada mesyuarat MKT, semalam.