Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ribuan peserta Himpunan Selamatkan Syariah solat hajat berjemaah lawan Nik Elin


PUTRAJAYA - Ribuan peserta yang menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah menunaikan solat hajat berjemaah di hadapan Istana Kehakiman di sini kira-kira jam 9 pagi tadi.

Solat hajat tersebut dilakukan untuk mendoakan berhubung keputusan prosiding pendengaran petisyen seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.


Biarpun terpaksa berpanas, peserta tidak berganjak sebaliknya tetap tenang dan khusyuk menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Syeikh Radhi Abd Rahman.

Ribuan peserta umat Islam Himpunan Selamatkan Syariah menunaikan solat hajat berjemaah di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, solat hajat tersebut dilakukan untuk menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan syariat islam yang wajib dipertahankan bukan sahaja dengan harta malah nyawa.

"Doakan keputusan hari ini memihak kepada umat Islam yang mahukan Islam diamal dan dilaksanakan secara syumul (menyeluruh).

"Malah ia bukan Islam yang dipengaruhi sekularisme dan warisan penjajah," katanya.

Mohd Nassuruddin tiba jam 9 pagi diiringi oleh beberapa individu.

Sebelum itu, Nik Elin dan beberapa peguam pasukannya juga dilihat tiba jam 8.40pagi tadi.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mendengar hujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah atau Amicus Curiae dalam prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Mereka ialah Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sebelum itu, Nik Elin tampil memberi maklum balasnya susulan rancangan PAS menganjurkan demonstrasi membantah petisyen mahkamah terhadap 20 peruntukan yang dianggap mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang difailkannya.

"Sesiapa saja boleh anjurkan perhimpunan asalkan mengikut garis panduan ditetapkan undang-undang dan mengambil kira hal-hal keselamatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kata Nik Elin, perkara itu merupakan hak setiap individu sama seperti hak yang digunakan olehnya untuk memfailkan petisyen di mahkamah.

"Mereka nak berhimpun, nak berkumpul, itu hak mereka. Sebagaimana saya juga mempunyai hak untuk mengambil kes ini," katanya lagi.

Pada 25 Mei tahun lalu,  Nik Elin bersama anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman telah memfailkan petisyen bagi menyemak semula 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut terhadap kerajaan Kelantan.

Nik Elin memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).