Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu REE: Bekas SUPOL Sanusi didakwa rasuah RM400,000


KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 membabitkan unsur nadir bumi (REE).

Bagaimanapun, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.


Mengikut pertuduhan, Mohamad Hilmi meminta dan menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM250,000 serta RM150,000 daripada Pengarah Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40.

Permintaan rasuah itu melalui seorang lelaki dikenali sebagai Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.

Kedua-dua kesalahan rasuah sebagai dorongan kepada tertuduh selaku Setiausaha Politik Muhammad Sanusi untuk membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd untuk mendapat kelulusan permohonan lesen perlombongan dan penjelajahan REE di Kedah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A, Taman Sri Hartamas, di sini dan sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, pada 4 serta 11 Julai lalu, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mencadangkan jaminan antara RM30,000 hingga RM60,000 bagi kedua-dua tuduhan dihadapi Mohamad Hilmi.

"Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Kedah setiap bulan kerana alamat tertuduh di Kuala Ketil.

"Selain itu, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai," katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Mohamad Hilmi, Syed Naquiddin Shahab, memohon jaminan RM20,000 atas alasan anak guam perlu menanggung lapan ahli keluarga membabitkan lima anak yang masih bersekolah, ibu bapa mentua dan ibu yang uzur.

"Anak guam tidak bekerja dan sudah ditamatkan kontrak (sebagai Setiausaha Politik Muhammad Sanusi) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sebelum ini.

"Semua syarat tambahan boleh dituruti dan ia dapat mengurangkan jumlah jaminan bagi kedua-dua kes.

"Anak guam juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat sejak kes disiasat pada Julai lalu," katanya.

Hakim membenarkan jaminan RM45,000 terhadap Mohamad Hilmi dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan, selain menetapkan sebutan semula kes pada 12 Januari tahun depan.

Media melaporkan Muhammad Sanusi mengesahkan memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkaitan REE di Sik.

Proses memberi keterangan kepada pegawai SPRM dibuat di pejabat Menteri Besar Kedah itu pada dua bulan lalu dan Muhammad Sanusi memaklumkan memberi kerjasama penuh bagi membolehkan siasatan kes berkenaan berjalan lancar.

Pada 18 Julai lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung kecurian REE yang dijalankan secara haram sehingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.