Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Arab Saudi sahkan Anwar dijadual bertemu Raja Salman


SHAH ALAM - Kedutaan Besar Arab Saudi mengesahkan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu turut melibatkan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri negara itu, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed Salman Al Saud.

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, perkara itu terkandung dalam nota diplomatik daripada Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur bertarikh 21 Mac yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi dari 22 hingga 25 Mac lalu.

Katanya, nota diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Kedua-dua nota diplomatik tersebut merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed Salman Al Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi.

“Kedua-dua nota diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah dan ziarah di Madinah,” katanya.

Sebelum ini lawatan Anwar ke Arab Saudi didakwa sebagai satu kegagalan oleh segelintir pihak termasuk Perikatan Nasional (PN) kerana beliau gagal bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed.


Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, lawatan itu langsung tidak melibatkan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan jemputan itu adalah undangan daripada kerajaan Arab Saudi.

Selain itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Isnin berkata, Anwar tidak sepatutnya melawat Arab Saudi jika pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed tidak ditetapkan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO tersebut turut menyifatkan perjalanan berkenaan sebagai 'kesilapan diplomatik yang besar'.

Mengulas lanjut, KLN menegaskan, nota diplomatik merupakan antara saluran komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan.

Namun KLN memberitahu, ketika berada di negara itu, delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinantertinggi Kerajaan Arab Saudi.

"Bagaimanapun, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.

"Ini termasuk Majlis Iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac 2023 dan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023," tambahnya.

Menurut KLN, Wisma Putra telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.

"Ia sepertimana yang dilaksanakan bagi lawatan yang telah diadakan sebelum ini dan juga lawatan terkini iaitu lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023 yang telah berjalan dengan lancar dan jayanya.

"Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan ke Arab Saudi, ia menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. Malaysia sentiasa menganggap Kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik.

"Dalam konteks ini, KLN menegaskan bahawa polemik serta tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa," jelasnya.

-Sinar