Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Saman Fitnah: Rafizi dakwa hanya mahu penjelasan Tuan Ibrahim



Rafizi Ramli berkata dia hanya menjemput Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mendapatkan penjelasan berhubung projek bernilai RM2 bilion yang didakwa diluluskan selepas parlimen terbubar pada akhir tahun lalu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan hal itu dalam kenyataan pembelaan terhadap saman fitnah dikemukakan timbalan presiden PAS berkenaan.

Pembelaan Rafizi difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Dis tahun lalu.

Tindakan sivil itu difailkan Tuan Ibrahim pada Nov 2022 berikutan dakwaan dibuat Rafizi bahawa kerajaan sementara - melalui kementerian alam sekitar dan air (Kasa) - cuba menganugerahkan kontrak bernilai berbilion ringgit kepada syarikat kroni.

Menurut dokumen pembelaan yang dilihat Malaysiakini, Rafizi menafikan kenyataannya - yang dibuat semasa dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor pada 7 dan 9 Nov tahun lepas - adalah fitnah atau dilakukan dengan niat jahat.

Defendan menegaskan dia membangkitkan isu itu untuk tujuan perhatian umum serta wacana awam yang sihat.

“Defendan menyatakan bahawa niat sebenar defendan membuat kenyataan media adalah untuk menjemput dan/atau menggalakkan plaintif memberi penjelasan berhubung kenyataan media dan/atau membawa kepada perhatian umum isu ketelusan oleh pihak berkuasa dalam pemberian kontrak bagi projek dan/atau meningkatkan kesedaran awam berhubung pengurusan perolehan kerajaan dalam tempoh sementara (selepas pembubaran parlimen dan sebelum PRU ke-15) dan/atau isu perbelanjaan dana awam yang menjadi isu bekepentingan awam,” dakwa Rafizi.

Timbalan presiden PKR itu mendakwa dia memperoleh maklumat berhubung komunikasi dan proses dalam pemberian projek tertentu di bawah Kasa, dan Tuan Ibrahim sebagai menterinya ketika itu perlu menjawab untuk memberikan penjelasan.

“Usaha defendan tidak mempunyai niat jahat. Ia selaras dengan hak defendan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan sebagai ahli politik, warganegara dan pembayar cukai, dan ia juga dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata Rafizi.

Menurut ahli parlimen Pandan itu juga, pihak yang mendapat faedah daripada kenyataan medianya adalah rakyat dan pembayar cukai.

Justeru katanya adalah salah bagi Tuan Ibrahim melihat semua itu dari sudut yang sempit seolah-olah membabitkan isu peribadi di antara defendan dan plaintif dan PAS.

Sementara itu sebagai menjawab pembelaan Rafizi, Tuan Ibrahim antara lain menegaskan Rafizi membuat dakwaan palsu atas kapasitinya sebagai ahli politik dan calon Pandan semasa tempoh berkempen PRU ke-15.

Melalui dokumen yang difailkan ahli parlimen Kubang Kerian pada 19 Jan lalu, dia mendakwa hujah itu dikuatkan lagi oleh Rafizi yang didakwa mengakui tidak berniat untuk membuat laporan polis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaliknya menunggu sehingga partinya memenangi PRU dan membentuk kerajaan.


"Atas sebab itu, adalah karut untuk defendan menyatakan bahawa defendan membuat sedemikian sebagai seorang rakyat yang prihatin apabila fakta-fakta dengan jelas menunjukkan bahawa ia dibuat berdasarkan kecenderungan politik dan manfaat dalam bentuk political milage yang boleh diperolehi defendan," katanya.

Peguam dari firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid bertindak bagi pihak Tuan Ibrahim manakala Rafizi diwakili peguam dari firma Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co.

Tindakan sivil berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ketika dihubungi media selepas itu, peguam plaintif Yusfarizal Yussoff berkata mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan dokumen lanjut.

Dia juga memberitahu mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya ialah pada 31 Mac ini.

-Malaysiakini