Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Aset ATM lebih dari cukup untuk pantau Beting Patinggi Ali -Tok Mat


KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan pihaknya mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian, sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di Perairan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dibuat bagi memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

"Saya tidak guna perkataan ceroboh lagi. Sebab ini adalah kawasan sama-sama claim (tuntut) jadi tidak mengapa begitu.

"Lebih daripada cukup," katanya dalam sidang akhbar ketika lawatan ke galeri jualan Satu Anggota, Satu Rumah (SASaR), pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media bahawa kapal peronda kelas-Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kelantan (PV175) kini berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali bagi memantau kehadiran kapal pengawal pantai China.

Menurut pemilik akaun Twitter, Ray Powell @GordianKnotRay, kapal peronda TLDM itu tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali pada Selasa untuk memantau kapal pengawal pantai China, CCG 5303.

Menurut beliau, kapal pengawal pantai China terbabit telah berada di kawasan perairan Beting Patinggi Ali sejak 12 Januari lalu untuk mengacau kerja-kerja explorasi gas dan minyak yang sedang giat dilakukan oleh beberapa syarikat di kawasan itu.

Jelas Mohamad lagi, aktiviti pemantauan itu kini dilakukan Anggota Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada tentera darat, laut dan udara.

"Kita mengawasi keadaan di mana tentera udara, laut dan darat bersedia dan kita juga meletakkan aset kita di sana supaya ia tidak menjadi 'doktrain of estopple' di mana tidak ada pihak yang menuntut.

"Bila kita letak aset kita di sana, ia menjadi hak milik maka kita letak aset kita di sana. Ini kawasan pertindihan begitulah. Masing-masing nak buktikan kawasan mereka dan kita akan buktikan dengan mempunyai aset kita berada di sana... buktikan kita pun nak claim kawasan yang sama," katanya.


Difahamkan Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.

Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.

Pada Julai 2020, Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).




-Sinar