Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Konsert di Kelantan: Kerajaan pusat dan JAKIM tiada kuasa, kata Menteri Agama



Kerajaan Pusat tidak boleh mengambil sebarang tindakan berhubung penganjuran Konsert Riuh Sokmo! di Kelantan yang berlangsung pada 16 hingga 18 Sept lalu, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Kata Idris, tindakan terhadap penganjuran konsert berkenaan adalah di luar bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru dia menyerahkan kepada kerajaan Kelantan untuk menyiasat jika ada sebarang pelanggaran undang-undang di sepanjang penganjuran konsert yang diadakan di Ketereh itu.

“Kita tunggu hasil siasatan serta laporan dari kerajaan Kelantan,” katanya dipetik BH Online.


Semalam Malaysiakini melaporkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed, menyuarakan kebimbangan terhadap Konsert Riuh Sokmo! yang disifatkan bertentangan dengan dasar Membangun Bersama Islam yang dibawa kerajaan negeri.

Mohamad Kamal berkata, pihaknya menerima pelbagai pandangan berasaskan kebimbangan suburnya budaya konsert di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menurutnya, penganjuran konsert seumpama itu amat membimbangkan semua pihak termasuk kalangan ibu bapa.

Konsert Riuh Sokmo! Bersama Celcom menampilkan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Dilaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung ke Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat itu.

Bagaimanapun Idris berkata, pihaknya dimaklumkan konsert berkenaan bukannya dianjurkan oleh kerajaan negeri sebaliknya oleh pihak luar.

Jelasnya, ia juga sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memenuhi syarat ditetapkan.

“Di Kelantan PBT ada peraturan sendiri dan sekiranya melanggar undang-undang ditetapkan, terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan,” ujarnya

-Malaysiakini