Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Caprice kena saman dengan ahli perniagaan


KUALA LUMPUR: Datuk SM Faisal SM Nasimuddin memfailkan saman fitnah terhadap Caprice ekoran hantaran dalam laman sosial penyanyi rap itu berkaitan hukuman penjara bekas isteri ahli perniagaan berkenaan, Emilia Hanafi, beberapa bulan lalu.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu, di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, SM Faisal dalam afidavitnya pada tarikh 28 Jun 2022, Caprice memuat naik hantaran berbaur fitnah dalam akaun Instagram miliknya berkaitan hukuman penjara yang perlu dijalani bekas isterinya selepas melanggar perintah Mahkamah Syariah di sini.


Pada 26 Jun lalu, Emilia mula menjalani penjara tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah mahkamah berhubung hak lawatan SM Faisal. 

“Defendan dengan niat jahat (mala fide), mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah sama ada secara langsung atau tidak atau secara terbuka. Posting fitnah tersebut telah mendapat publisiti meluas,”katanya.

Dakwa plaintif, hantaran itu memberi implikasi kepada hubungannya sesama keluarga, kerjaya, fokus kerja serta pendapatan plaintif.

Berikutan tindakan Caprice itu juga, SM Faisal mendakwa dirinya tertekan dari segi emosi selain menjadi cemas dengan pelbagai hasutan, cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Turut dimohon ialah kos, ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk  dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi selepas pengurusan kes saman itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Idah Ismail mengesahkan pemfailan saman fitnah berkenaan terhadap Caprice.

“Tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 14 Oktober ini,” katanya.

- UTUSAN