Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Zahid: Hakim dibawa ke banglo yang dijadikan pusat pengajian Al-Quran


KAJANG: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai melawat dua unit banglo di Country Heights di sini yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tiba di lokasi rumah banglo itu kira-kira pukul 10.40 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda (MPV) dan dikawal rapi oleh pengawal keselamatan.

Turut menyertai lawatan itu ialah Ahmad Zahid serta dua peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd. Noh manakala pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris, Ong Mohd. Jeffrey Ong.

Lawatan itu kemudian berakhir pukul 11.25 pagi dan Hakim Collin kemudian dibawa semula ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Dalam sesi lawatan itu, pihak media yang hadir sejak pukul 10 pagi mendapat kebenaran memasuki dua unit lot banglo berkenaan yang mana kebenaran itu dipersetujui semua pihak termasuk pengurusan perumahan mewah itu.

Pada 6 Julai lalu, Hakim Collin yang mendengar perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid bersetuju mengadakan lawatan di dua unit banglo tersebut.

Beliau berkata, persetujuan itu selaras dengan permohonan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan bagi mendapat gambaran yang lebih jelas keadaan kedua-dua banglo berkenaan.

Hisyam menjemput pihak mahkamah melawat dua banglo berkenaan kerana pembeliannya terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Ahmad Zahid.

Menurut peguam itu, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasi serta jaraknya dengan Surau An-Nur di Country Heights.

Sebelum itu, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

-Sinar