KUALA LUMPUR: Saksi utama perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkait projek terowong dasar laut Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa ketua menteri ketika itu meminta beliau mencari “orang perantara” untuk menghantar wang tunai kepadanya.
Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, ini kerana Lim bimbang Zarul mungkin “dipantau” oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zarul berkata, beliau mencadangkan rakan perniagaan, G Gnanaraja, untuk bertindak sebagai orang perantara kerana hubungan rapatnya dengan perdana menteri ketika itu Najib Razak. Beliau berkata, Gnanaraja juga merupakan rakan kepada bekas menteri Nazri Aziz.
“Ini (penglibatan Gnanaraja) juga boleh membantu saya membina hubungan rapat dengan PM supaya Barisan Nasional tidak ‘mengganggu’ projek terowong dasar laut.
“Guan Eng pun setuju. Susulan itu, saya berhubung dengan Gnanaraja dan memberitahu mengenai hasrat untuk menggunakan beliau sebagai perantara untuk membuat bayaran kepada Guan Eng,” katanya.
Zarul berkata, dia menghubungi Gnanaraja beberapa kali antara Mei dan Ogos 2017 untuk memaklumkan bahawa dia memerlukan bantuannya untuk menghantar wang kepada Lim.
“Saya menghubungi Gnanaraja untuk berjumpa dan berbincang mengenai penyediaan sebuah syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV).
“Saya memaklumkan kepadanya, saya memerlukan perantara untuk membayar wang rasuah kepada Guan Eng. Ini kerana pada masa itu, saya sudah takut untuk memegang dan menyimpan banyak wang tunai kerana dalam perhatian SPRM. Saya juga turut dikecam dan ditohmah oleh beberapa pihak lain,” katanya.
“Saya bercakap dengan Gnanaraja mengenai permintaan YB Lim supaya saya tidak menyimpan terlalu banyak wang tunai,” katanya, selain menambah bahawa dia mempercayai Gnanaraja.
Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta Zarul komisyen 10% daripada keuntungan daripada projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dan menerima RM3.3 juta sogokan daripada ahli perniagaan itu.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.
-Mykmu