Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pukul polis dengan batang penyapu, wanita didenda RM3000


MELAKA: Tindakan agresif seorang wanita memukul anggota polis menggunakan batang penyapu mengundang padah apabila dikenakan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistrest di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhi hukuman itu terhadap Hasrina Osman, 42, yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Koperal Muhammad Taufik Sayutin ketika beliau melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam yang sah.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10.45 malam di Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh telah mengamuk dengan memecahkan barang dan menyuruh abangnya menghantarnya ke rumah ibu mereka di Paya Jaras, Selangor.

Abangnya yang tidak dapat mengawal keadaan telah menghubungi Balai Polis Banda Hilir untuk mendapatkan bantuan dan mangsa telah ke lokasi kejadian.

Tertuduh bagaimanapun telah bertindak agresif dengan mencederakan mangsa menggunakan batang penyapu sehingga menyebabkan kecederaan.


Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya, selain tidak mempunyai pekerjaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius kerana ia membabitkan penjawat awam.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membayar denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar. 

– UTUSAN