Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketegasan BAM gantung Lee Zii Jia amat tepat -Rashid Sidek



Kuala Lumpur: Tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggantung pemain perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia selepas memutuskan untuk meninggalkan badan induk itu adalah tepat.

Biarpun ia boleh menyebabkan karier juara Seluruh England itu terjejas namun itu sebagai loceng amaran kepada seluruh pemain yang bernaung di bawah BAM.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, tindakan tegas memang perlu diambil supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pemain negara.

Malah ketika ini sudah timbul khabar angin yang mengatakan bahawa bukan hanya Zii Jia malah ada beberapa pemain lain yang menunggu masa untuk mengikuti jejak langkah Zii Jia meninggalkan BAM selepas ini.

"BAM perlu tegas. Jangan berlembut dengan pemain kerana ia akan merosakkan badan induk itu sendiri.

"Sekarang ini orang akan anggap BAM ini macam universiti. Gilap dan ajar bakat yang ada, bila cukup masa tinggalkan universiti dan pergi tempat lain," katanya.

Selain itu, Rashid turut tidak menolak bahawa alasan kontrak lumayan dan penajaan yang diterima Zii Jia itu turut menjadi faktor mengapa pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM.

Bagaimanapun Rashid merasakan bahawa Zii Jia tidak akan berdiam diri dan pasti akan kembali baik dan perlu menjadikan episod yang dialami kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota sebagai pengajaran.

"Saya rasa dua tahun ini, dia tidak akan duduk saja. Mungkin dia akan ke Dubai untuk bersama Viktor Axelsen.

"Dia (Zii Jia) akan bangkit menjadi lebih baik selepas itu. Tengok saja apa yang berlaku kepada Momota. Dia juga digantung tapi dia kembali menjadi lebih baik dan masih menjadi pemain nombor satu dunia," katanya.

Terdahulu, BAM mengumumkan hukuman penggantungan selama dua tahun terhadap Zii Jia selepas dia memohon untuk keluar dari BAM.

-MyMetro