Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Guan Eng minta komisen 10%, bantu syarikat menang tender terbuka -Saksi


KUALA LUMPUR – Pengarah Consortium Zenith BUCG (CZBUCG) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bahawa dia terkejut apabila Lim Guan Eng meminta 10 peratus keuntungan projek mega di Pulau Pinang yang dianggarkan menelan kos RM7 billion.

Ketika membaca pernyataan saksi dalam perbicaraan kes di hadapan Hakim Azura Alwi, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, dia tidak menyangka Guan Eng akan berkata sedemikian, sedangkan beliau dikenali sebagai ahli politik yang menentang rasuah.

Saksi ke-23 itu berkata, peristiwa tersebut berlaku sekitar jam 12 malam, awal Mac 2011 lalu iaitu ketika dia dalam perjalanan membawa Guan Eng pulang ke sebuah hotel di Mid Valley, di sini.

Ketika dalam kereta, beliau berkata, Guan Eng telah meminta 10 peratus daripada keuntungan projek Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

“Selepas saya bersetuju dengan permintaan tersebut, Guan Eng kelihatan tersenyum malah ahli politik itu memberitahu, beliau sendiri atau pegawainya akan memberi bantuan untuk projek itu,” katanya.

Menceritakan detik perkenalannya dengan Guan Eng, saksi berusia 62 tahun itu berkata, mula mengenali Setiausaha Agung DAP berkenaan selepas diperkenalkan oleh bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sekitar Januari 2011.

Dalam pertemuan berkenaan, Zarul yang bertindak sebagai broker bagi Syarikat Beijing Urban Construction Group (BUCG) dari China, turut menzahirkan minat untuk menceburi apa-apa projek di Pulau Pinang.

Selepas itu, beliau menubuhkan syarikat CZBUCG untuk membida projek tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Pada awal Mei 2011, ahli perniagaan itu berkata, telah berjumpa dengan Guan Eng untuk menuntut janji agar BUCG dianugerahkan projek mega secara rundingan terus.

Namun, beliau kecewa kerana Guan Eng membuat ‘U-turn’ dengan menyatakan bahawa projek tersebut dibuat secara tender terbuka.

“Bagaimanapun, Guan Eng berjanji dengan saya, bahawa beliau akan bantu saya untuk dianugerahkan projek tersebut.

“Guan Eng meminta supaya Permohonan Untuk Cadangan atau request for proposal (RFP) dipercepatkan,” katanya.

Seterusnya Zarul berkata, Guan Eng meminta BUCG membantu pegawainya dan bekas Exco Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng dalam penyediaan RFP tersebut.

Walaupun anugerah itu diubah kepada tender terbuka beliau berkata, syarikatnya telah memenangi tender itu dan beliau berasa amat terhutang budi dengan Guan Eng dan Hock Seng.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februaru 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura bersambung 23 Mac tahun depan.

-sinar