Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sokongan padu dari penjawat awam beri motivasi untuk PN



KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu memberikan Perikatan Nasional (PN) lebih motivasi susulan sokongan padu yang diterima gabungan itu daripada penjawat awam, kata Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin.

Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri baharu selepas menang 21 daripada 28 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan PN hanya dua.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, “post mortem” awal PN dengan parti komponennya memberikan mereka beberapa alasan untuk meraikannya.

“Kami mendapati terdapat peningkatan dari segi sokongan kepada PN dan itu memberikan kami lebih motivasi,” katanya.

Hamzah berkata, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, adalah penting mencari jalan untuk mengelakkan lebih banyak pertembungan yang boleh menyebabkan perpecahan lebih besar dalam negara.

“Itu bagi saya lebih penting daripada perkara lain,” katanya.

Beliau berkata, PN telah melibatkan beberapa organisasi untuk menghasilkan analisis mendalam mengenai prestasi gabungan itu di Melaka yang akan didedahkan kemudian.

Hamzah bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemegang taruh industri keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengulas siasatan polis terhadap ucapan dibuat di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman mengenai kebimbangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan desakan pemisahan Sabah, Hamzah berkata, Ahli Parlimen Warisan itu tidak sepatutnya menyentuh isu yang tidak menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

“Orang ramai tidak boleh bercakap tentang isu sebegini hanya untuk suka-suka. Jika mereka bercakap sesuatu, ia sepatutnya membantu atau menyelesaikan masalah atau cadangan bagaimana rakyat boleh hidup aman dan harmoni,” katanya.

“Tetapi jika mereka mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, sudah tentu kita akan mengambil tindakan.”

Hamzah juga menyentuh mengenai “kad laporan” yang diarahkan kepada Jemaah Menteri untuk dibentangkan dalam 100 hari pertama mereka memegang jawatan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada September.

Tempoh 100 hari bermula pada 1 Sept, dan kad laporan perlu dihantar sebelum 10 Dis.

-FMT