Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pemimpin PKR mahu Anwar belajar daripada BN



Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berpandangan PH perlu belajar daripada BN dalam soal disiplin dalam gabungan.

Azan berkata demikian ketika mengulas desakan Adun Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen agar Presiden PKR Anwar Ibrahim berundur sebagai ketua pembangkang ekoran kekalahan PH dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Menurut Azan, antara faktor Umno mampu bertahan selama 60 tahun sebagai pemerintah negara adalah disiplin dalam kalangan parti komponen.

Malah, katanya, setelah hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2013, disusuli kekalahan buat pertama kali pada 2018, tiada parti komponen BN yang mendesak pengerusi mereka meletakkan jawatan.

Katanya, ia menunjukkan "disiplin bergabungan" yang tinggi dalam kalangan parti komponennya.

Itu semua, katanya adalah kerana disiplin bergabungan yang tinggi dalam kalangan ahli gabungan.

“Kalau kerana kekalahan dalam PRN saja pun sudah mengambil pendirian untuk mendesak Anwar letak jawatan, maka tak ada disiplin langsung, kalau begini, tak boleh menjamin PH berjaya di masa depan.

“(Segelintir pihak dalam) DAP ini dilihat seolah-olah macam cepat berputus asa - kalah saja, terus desak letak jawatan. Seolah-olah perjuangan dia memerlukan jalan singkat,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Perlu dinyatakan yang selepas kekalahan BN pada PRU 2018, parti komponennya, Gerakan mengambil keputusan keluar daripada gabungan itu.

Parti komponen di Sarawak, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) turut mengambil langkah sama dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pada 23 November lalu, Lee membuat desakan itu sambil menggesa pembangkang meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin.

Bagaimanapun, ia dibidas beberapa pemimpin PKR, antaranya Naib Ketua Pemuda PKR S Thiban dan Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh, antara lain membangkitkan soal tanggungjawab kolektif gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Azan mendakwa kemenangan dalam PRU14 menyebabkan ada dalam kalangan pemimpin muda pembangkang yang mudah kecewa.

Dia berkata Anwar sendiri menunjukkan disiplin yang tinggi untuk kekal bersama pembangkang dan tidak kembali menyertai Umno pada masa lalu.

Katanya lagi, Anwar juga mengutamakan semangat rundingan dan bertolak-ansur dengan sekutu komponen dan bukan menjadi diktator, antaranya dalam soal penggunaan lambang PH dalam PRN Melaka meskipun, katanya Anwar tahu ia langkah yang berisiko.

“Nilai itu (pada Anwar) yang sepatutnya DAP lihat. Tanpa Anwar, DAP tak ke mana sampai bila-bila pun. Dia kena tahu benda tu.

“Dan pimpinan muda dalam DAP harus mengetahui hal ini (untuk menjadi) sebuah parti yang dihormati di Malaysia yang berbagai kaum ini,” katanya lagi.

PRN Melaka menyaksikan PH hanya berjaya memperoleh lima daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. PKR pimpinan Anwar kalah kesemua 11 kerusi yang ditandingi, termasuk tiga yang disandangnya.

BN pula memenangi 21 kerusi dan memperoleh majoriti dua pertiga.