Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Faktor PM pengaruhi kemenangan besar BN di Melaka



PETALING JAYA: Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di peringkat Persekutuan sedikit sebanyak dilihat mempengaruhi kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (Melaka).

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, pihaknya tidak menolak feel good factor Naib Presiden UMNO itu adalah antara faktor kemenangan besar BN.

Katanya, berdasarkan sejarah juga, kecenderungan pengundi di kebanyakan negeri, melainkan di negeri yang menjadi kubu pembangkang adalah untuk mengundi parti yang Perdana Menteri menjadi ahli.

“Ini disebabkan faktor praktikaliti dan pragmatisme bagi membolehkan usaha pembangunan di negeri-negeri tersebut dapat berjalan dengan lebih lancar tanpa ada halangan dari segi dana.

“Malah, sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri 21 Ogos lalu, tidak ada isu besar yang mampu dimainkan oleh pembangkang untuk menyerang beliau dan kerajaan beliau.

“Tagline ‘kerajaan gagal’ yang dipalitkan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sudah tidak boleh digunakan lagi kerana kejayaan program vaksinasi telah meredakan keseriusan pandemik Covid-19.

“Konsep Keluarga Malaysia yang beliau perkenalkan, selain kemesraan beliau sendiri, telah mewujudkan keharmonian dan kestabilan dalam negara dengan politik negara menjadi lebih aman,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sabtu lalu, BN diumumkan menang dengan majoriti selesa sebanyak 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut Kamarul Zaman, pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga dilihat tidak lagi mampu menyerang kerajaan dengan berkesan termasuk dalam kempen PRN Melaka.

“Ini apabila memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri bersama pemimpin PH, 13 September lalu.

“Melalui pemeteraian MoU tersebut, pelbagai kemudahan dan akomodasi telah diberikan kepada pemimpin PH, termasuk pelbagai runding cara dengan mereka di dalam penyediaan Bajet 2022.

“Oleh kerana tuntutan-tuntutan mereka telah dan sedang dipenuhi, maka pemimpin PH sudah pasti tidak lagi mampu menyerang kerajaan,” jelasnya.

-UTUSAN