Doktor kontrak rancang letak jawatan beramai-ramai serentak



KUALA LUMPUR: Seruan letak  jawatan beramai-ramai dalam kalangan doktor kontrak adalah bertujuan untuk memberi mesej buat kerajaan agar mendengar permintaan mereka.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, keputusan meletak jawatan itu sememangnya sudah lama dirancang dan pihaknya bercadang memilih satu masa untuk mereka berhenti secara serentak. 

Bagaimanapun, katanya, beliau belum mendapat data tepat berapa ramai doktor kontrak yang bersedia menarik diri daripada berkhidmat dan pihaknya dalam proses mengumpulkan maklumat tersebut dari semasa ke semasa. 

“Mereka sudah rancang mahu berhenti, cuma daripada mereka berhenti pada hari yang berbeza-beza, kami mungkin usahakan supaya semua berhenti dalam satu hari yang sama supaya memberi mesej lebih tegas kalau isu ini tidak ditangani, lebih ramai akan berhenti. 

“Jadi, daripada setiap satu hari seorang atau lima orang doktor yang berhenti, mungkin pada 8 hari bulan depan nanti, kalau boleh kita dapatkan 100 hingga 200 doktor berhenti bersama-sama yang akan beri impak lebih besar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media secara maya hari ini. 

Berdasarkan rekod, hasil daripada tinjauan Hartal Doktor Kontrak pada April lalu mendapati, sejumlah 3.9 peratus daripada 1,000 responden (doktor kontrak) sudah meletak jawatan manakala tinjauan kedua pada Jun lalu merekodkan pertambahan dua kali ganda atau sembilan peratus doktor yang keluar daripada perkhidmatan. 

Dalam tempoh setahun bermula Jun tahun ini hingga Jun tahun hadapan, pihaknya mengunjurkan sebanyak 20 peratus doktor kontrak akan meletak jawatan secara beransur-ansur. 

Pada 16 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan, Hartal Doktor Kontrak merancang meletak jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember ini, jika baki 22,288 doktor berkenaan tidak diserapkan ke jawatan tetap oleh kerajaan. 

Mengulas lanjut, Muhammad Yassin menafikan peletakan jawatan beramai-ramai pada hari tersebut akan menjejaskan sistem perkhidmatan dan penyampaian kesihatan di hospital. 

“Saya tidak rasa ia akan memberi kesan (yang teruk), kalau setakat hari itu ada lebih kurang 100 hingga 200 doktor letak jawatan, ia tidak akan beri impak kerana kalau bandingkan dengan jumlah doktor di seluruh negara, peratusannya tidaklah banyak. 

“Cuma, jika isu ini tidak ditangani, maka dijangka lebih ramai lagi yang akan letak jawatan pada masa hadapan dan sudah tentu ia akan menjadi masalah untuk sistem kesihatan negara,” katanya. 

Ditanya jika kerajaan mungkin tidak akan bertolak ansur untuk kali ini dan terus mengenakan tindakan undang-undang terhadap semua doktor kontrak, Muhammad Yssin berkata, pihaknya merasakan tiada hukuman akan dikenakan seperti yang dijanjikan menteri kesihatan sebelum ini. 

“Kami hanya luahkan hak untuk membantah dan menyuarakan pendapat kami. Kami akan pastikan penjagaan terhadap pesakit tidak terkesan dan tiada harta benda rosak, kami cuma luahkan isu ketidakpuasan hati terhadap apa yang telah berlaku sebab masa depan kami tidak terjamin,” katanya.

  – UTUSAN

Join our Telegram Channel
Telegram


Doktor kontrak rancang letak jawatan beramai-ramai serentak Doktor kontrak rancang letak jawatan beramai-ramai serentak Reviewed by Tun Carlos on November 23, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.