Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Guru belum vaksin dakwa diasingkan dekat stor 'cleaner' sekolah





IPOH:  Video seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang guru diasingkan oleh pihak sekolah di sebuah bilik simpanan stor tukang cuci  kerana belum menerima vaksin Covid-19, tular dalam media sosial.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu tular dalam aplikasi TikTok selepas dimuat naik sejak semalam dan sehingga kini sudah mencecah 1.2 juta tontonan.

Dalam rakaman itu, individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di sini berkata, dia diasingkan pihak sekolah kerana belum menerima suntikan vaksin. 

Berikutan itu, lelaki itu meluahkan rasa kesal atas layanan  yang diberi pihak sekolah terhadapnya. 

video:



Katanya, pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani, namun, ditukarkan ke stor tukang cuci atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan. 

Jelasnya, bilik stor tukang cuci tersebut hanya mempunyai meja dan kipas, namun, tidak mempunyai kerusi serta palam (plug) untuk menggunakan komputer riba dan sebagainya. 

“Dinding bilik diperbuat daripada zink, jadi saya masuk sekejap dan tidak tahan kerana sangat panas. 

“Jadi, sekarang saya duduk dalam kereta ambil sedikit penghawa dingin sebab bilik itu terlalu panas dan tidak layak diduduki,” katanya dalam rakaman video itu.

Sementara itu, netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap video itu antaranya tindakan pihak sekolah itu bagi melindung pelajar dan guru yang sudah divaksin. 

Ada juga yang menasihati guru itu supaya menerima vaksin demi keselamatan semua dan keselesaan guru tersebut.

Bagaimanapun, ruang komen berkenaan telah ditutup pemilik akaun terbabit setakat pukul 12 tengah hari tadi. 

– UTUSAN ONLINE