Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerjasama politik di Melaka, BN belum buat keputusan -Zahid



PETALING JAYA: Pendirian Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan BERSATU atau mana-mana parti politik dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka hanya akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon 8 Okt, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mesyuarat tiga peringkat dan akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno serta Dewan Tertinggi BN sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Umno dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN. Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk Umno dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.

“Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik Umno dan juga MKT Umno akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Mengulas lanjut Zahid berkata, Umno sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.

“Pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka… siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.

“Namun, segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelaah di manakah pendirian Umno dan BN dalam PRN Melaka ini,” katanya.

Zahid berkata, pemilihan calon Umno ketika ini bertumpu kepada rekod kemenangan berdasarkan data dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 dan ke-14 lalu.

“Setakat ini kami melihat bahawa fokus kepada calon-calon kami terletak di atas kebolehmenangan kawasan DUN itu.

“Berdasarkan sains dan data melalui perangkaan yang diperoleh daripada PRU14 dan PRU13 dan unjuran yang dibuat untuk PRN kali ini,” katanya.

-FMT