Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anwar terima surat naik taraf kepada Menteri



PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan kedudukannya setaraf dengan menteri.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam hantaran di Facebooknya malam tadi.

Menurut Anthony Loke, surat berkenaan telah diserahkan kepada Anwar sebelum mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan serta Pakatan Harapan (PH), petang semalam.

“Sebelum mesyuarat bermula, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri,” katanya dalam hantaran itu.

Kerajaan, pembangkang lakar sejarah meterai kerjasama ‘dwi-partisan’

Memastikan Pejabat Ketua Pembangkang diberi hak dan kemudahan sewajarnya merupakan satu daripada perkara terkandung dalam pembaharuan Parlimen di bawah MoU antara kerajaan dan PH.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Anthony Loke berkata, beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang.

Kata beliau, mesyuarat juga membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama.

“Mesyuarat ini akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu. Ia membawa satu budaya politik yang baru untuk negara kita.

“Walaupun ada perbezaan politik antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara,” jelas beliau.