Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ini alasan mengapa Norhizam enggan serah kenderaan rasmi



PETALING JAYA: Bekas Exco Melaka Norhizam Hassan Baktee berkata beliau enggan memulangkan kenderaan rasmi negeri Melaka kerana tidak berpuas hati terhadap Exco lain yang juga belum memulangkan kenderaan rasmi mereka. 

“Saya tidak mahu kereta itu kerana saya pun ada kereta tetapi saya tidak puas hati kenapa exco lain masih dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi sedangkan kerajaan negeri sudah tiada?

“Selama ini, saya simpan kereta itu kerana saya marah hanya saya dan Datuk Seri Idris Haron serta Datuk Noor Effandi Ahmad yang diarahkan memulangkan kereta sedangkan exco lain bebas ke hulu ke hilir dengan kereta rasmi,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut laporan Harian Metro.

Norhizam berkata beliau akan memulangkan kenderaan itu sama ada hari ini atau esok selepas menyelesaikan beberapa perkara terlebih dulu. 

Selain itu, Norhizam berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Kamel Mohamad tidak perlu cuba ‘menakut-nakutkan’ beliau dan dua bekas exco lain untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mendedahkan rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu berkata, beliau, Idris dan Noor Effandi tidak mendedahkan rahsia itu, sebaliknya mempersoalkan pembentukan kerajaan sementara (caretaker) Barisan Nasional (BN) yang didakwanya tidak sah.

“Jangan cubalah untuk menakut-nakutkan kami, jangan fikir kami tidak tahu membezakan antara rahsia MMKN dengan soal dasar.

“Kami tidak pernah mendedahkan rahsia MMKN kerana tahu kami sudah mengangkat sumpah menyimpan rahsia MMKN,” katanya.

Katanya, beliau akan terus mengeluarkan kenyataan mengenai kerajaan sementara dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu yang didakwanya dilakukan secara tidak mematuhi undang-undang.

Semalam, Kamel dilaporkan menafikan dakwaan Idris, kononnya terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan MMKN.

Sebaliknya, beliau menegaskan, semua keputusan dalam mesyuarat berkenaan dibuat secara bersama dan tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga.

Kamel berkata, setiap ahli MMKN sudah mengangkat sumpah kerahsiaan dan kerajaan negeri sedang meneliti sama ada sumpah itu dilanggar sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.

-TunCarlos