Perlis benar masjid dibuka sepenuhnya esok

Masjid Al-Hussain, Perlis

KANGAR: Kesemua masjid di Perlis dibenarkan dibuka sepenuhnya mulai esok (13 Okt) dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid secara berperingkat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara SOP utama mesti dipatuhi ialah setiap jemaah haruslah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap, sama ada bagi dewasa atau kanak-kanak.

"Selari dengan suasana semasa dan kebenaran diumumkan kerajaan, beberapa perkara terdahulu yang dihadkan dengan ini dibenarkan seperti tiada lagi had kehadiran hanya kepada anak kariah dan mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri juga dibenarkan hadir ke masjid.

"Namun bagi mereka yang berstatus 'Person Under Investigation', 'Person Under Surveillance' dan berisiko dijangkiti, bergejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema tidak dibenarkan hadir ke masjid," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Baginda bertitah, sebarang sentuhan fizikal seperti bersalaman adalah dilarang dan penjarakan fizikal perlu terus diamalkan sama ada ketika mendirikan solat, sesi kuliah atau ceramah.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, jemaah juga digalakkan agar memakai pelitup separuh muka jenis N95 atau K95 dengan kaedah dua pelitup muka, dilengkapkan dengan pelindung muka (face shield).

"Semua aktiviti pengimarahan sama ada solat fardu, solat Jumaat, solat jenazah, kuliah agama, ceramah dan akad nikah dibenarkan dengan syarat pematuhan SOP. Namun aktiviti jamuan hendaklah dilaksanakan secara edaran.

"Semua masjid di seluruh Perlis tertakluk kepada arahan SOP ini, manakala surau atau tempat solat umum kekal tidak dibuka. Larangan ini termasuk kepada agensi, institusi, parti, maahad tahfiz, melainkan dengan kebenaran khas daripada MAIPs," titah baginda. 

- BERNAMA

Join our Telegram Channel
Telegram


Perlis benar masjid dibuka sepenuhnya esok Perlis benar masjid dibuka sepenuhnya esok Reviewed by Tun Carlos on October 12, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.