Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Varian Delta dan Beta dikesan di Kelantan



Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Husin memaklumkan sebanyak 13 kes positif melibatkan varian Delta dan 25 kes varian Beta di negeri itu, setakat Isnin lalu.

Justeru, Zaini menggesa semua penduduk negeri itu agar terus berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi stardard (SOP) yang ditetapkan.

Dia berkata pada peringkat awal, hanya tiga kes melibatkan varian Delta tetapi ia kian bertambah sejak bulan lalu.

"Pertambahan varian Delta itu amat membimbangkan memandangkan jangkitan itu sudah ada dalam komuniti dan telah pun menular ke beberapa daerah.

"Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada semua masyarakat agar lebih berhati-hati serta menjaga diri masing-masing untuk mengelakkan penularan Covid-19.

"Beberapa sektor ekonomi yang telah dibuka sekarang semangnya menyebabkan banyak pergerakan. Oleh itu, rakyat perlu lebih patuh SOP dan jauhi tempat yang sesak," katanya dalam kenyataan.

Selain Kelantan, varian Delta yang merupakan varian membimbangkan (VOC) turut telah dikesan di Sarawak, yang dilaporkan sebagai varian dominan di negeri itu.

Ia merupakan varian yang paling mudah berjangkit setakat ini serta lebih berisiko meragut nyawa berbanding strain virus awal yang dikesan di Wuhan, China.

Pada masa sama, satu kajian yang dijalankan di Guangzhou, China baru-baru ini menunjukkan dua dos vaksin memberi perlindungan mencukupi bagi menentang varian tersebut, menurut Pakar Vaksin Pharmaniaga Berhad Dr Ajit Pal Singh.

Dalam pada itu, Zaini mengingatkan walaupun sudah divaksin sepenuhnya, orang ramai tetap perlu menjaga SOP termasuk memakai pelitup muka berganda.

"Kepada mereka yang mula berkunjung ke pusat pelancongan atau tumpuan ramai, kita harap mereka jaga penjarakan sosial.

"Sekiranya ada gejala, dinasihatkan supaya, menjalani kuarantin kendiri untuk mengelakkan risiko jangkitan kepada orang di sekeliling," katanya lagi.

-MalaysiaKini