Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes ahli Bersatu serang Pak Guard, polis ucap terima kasih setelah AGC tuduh membunuh



PETALING JAYA: Ahli pemuda Bersatu, Ahmad Noor Azhar Muhammad yang menyerang seorang pengawal keselamatan (pak guard) di sebuah kondominium sebelum ini dihadapkan ke mahkamah sekali lagi hari ini atas tuduhan membunuh.

Polis berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merungkai kes kematian pengawal keselamatan, Thava Sagayam Santhanasamy, sehingga membawa kepada pertuduhan bunuh terhadap seorang ahli Pemuda Bersatu hari ini.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk meminda pertuduhan terhadap Ahmad Noor Azhar Muhammad, daripada Seksyen 335 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera parah) kepada Seksyen 302 (bunuh), selepas pengkelasan semula kes itu.

Jelasnya, polis menjalankan siasatan ke atas kematian Thava di bawah kesalahan membunuh sebaik sahaja pengawal keselamatan tersebut dilaporkan meninggal dunia pada 27 Ogos.

Kes 29 Dis tahun lepas itu disiasat di bawah kesalahan mendatangkan kecederaan sebelum kematian pengawal keselamatan berusia 64 itu. Pada awal tahun ini, suspek dituduh mengikut seksyen itu.

“Polis Perak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu merungkai dan menyelesaikan siasatan kes ini,” kata Mior dalam kenyataan.

Dalam pada itu, polis memohon agar tiada pihak membuat sebarang tanggapan negatif terhadap polis ketika ia masih dan sedang menjalankan siasatan.


Mior berkata kenyataan yang tidak sahih, tidak tepat dan mengelirukan dikhuatiri boleh menimbulkan prejudis serta boleh mengganggu proses siasatan “di samping memberi gambaran negatif terhadap badan penguat kuasa”.

Lelaki berusia 33 tahun itu dihadapkan di Mahkamah Majistret di Ipoh, Perak mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ini selepas pihak polis mengklasifikasikan semula serangan ke atas Thava Sagayam, ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh Disember tahun lepas sebagai kes bunuh. Ia susulan mangsa yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Jika didapati bersalah, Ahmad Noor Azhar akan ke tali gantung kerana dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati.

-FMT/MalaysiaKini