Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Muhyiddin, Peguam Negara tiba di Istana mengadap Agong





PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara pada pukul 10.54 pagi, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan membawa beliau yang diiringi polis pengiring, dilihat memasuki pintu satu Istana Negara.

Selesai menghadap, Perdana Menteri dikhabarkan akan ke pejabatnya di Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet.



Sebelum itu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilihat memasuki Perdana Putra, Putrajaya pada 9.20 pagi tadi.

Tidak lama selepas itu, kenderaan membawa Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang pula dilihat memasuki pintu utama bangunan Pejabat Perdana Menteri berkenaan pada jam 9.31 pagi.


Dalam perkembangan sama, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Idrus Harun juga dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara pada 9.30 pagi ini.

Petugas media mula berkumpul di beberapa lokasi di sekitar ibu negara termasuk Istana Negara dan kediaman Muhyiddin Yassin sejak awal pagi tadi, selain pintu masuk utama bangunan Pejabat Perdana Menteri bagi meninjau lebih dekat perkembangan terkini politik tanah air.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri dipersoalkan apabila Umno semalam membuat ketetapan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin. Keabsahan pentadbiran Muhyiddin juga menjadi tanda tanya apabila Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Nasarah meletak jawatan serta-merta.


Pergolakan politik tanah air terus memuncak apabila sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen difahamkan menghantar akuan menarik sokongan terhadap perdana menteri untuk diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, Ahli Parlimen berkenaan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Ahmad Maslan (Pontian) yang juga Setiausaha Agung Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Najib Razak (Pekan), Azalina Othman Said (Pengerang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Noh Omar (Tanjung Karang).

Ahli Parlimen lain adalah Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Sehingga pukul 11 pagi ini para petugas media dan anggota polis memenuhi pekarangan Istana Negara bagi memantau perkembangan terkini isu politik negara.

-TunCarlos