Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mereka datang tawarkan Ku Li jawatan PM, keputusan berubah saat akhir

/>

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pernah ditawarkan jawatan Perdana Menteri mewakili UMNO sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat ini sebelum keputusan itu beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Biro politik UMNO telah datang bertemu Ku Li menawarkan beliau sebagai calon Perdana Menteri, dua bulan yang lalu namun tidak sangka ada calon lain pada saat akhir,” kata satu sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh kepada Sinar Harian.

Ujar sumber tersebut, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li telah dipujuk oleh Biro Politik UMNO untuk menjadi calon Perdana Menteri sebanyak dua kali kerana mereka mendapati tidak ada pimpinan daripada UMNO ketika itu yang boleh diketengahkan.

“Yang datang menemui Ku Li ialah Ahmad Zahid sendiri, timbalannya (Datuk Seri Mohamad Hasan), Ketua Pemuda UMNO (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami dimaklumkan juga bahawa lebih 40 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sudah tandatangan persetujuan untuk memberi kuasa kepada presiden (Ahmad Zahid) dan telah memutuskan hanya satu calon daripada parti iaitu Ku Li sahaja," kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun pada Selasa lalu, MKT UMNO telah bermesyuarat dan memutuskan untuk memberi mandat kepada 42 ahli Parlimen BN memuktamadkan calon dan akhirnya nama Ismail Sabri yang diangkat untuk menjadi calon rasmi UMNO.


“Sebelum ini Ku Li diberitahu bahawa parti melalui MKT sudah memuktamadkan kuasa menamakan calon Perdana Menteri diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ku Li adalah calonnya.

“Beliau (Ku Li) tidak marah atau menganggap itu satu pembelotan atau pengkhianatan namun apa yang berlaku amat tidak baik untuk masa depan parti itu nanti,” ujarnya.

Sumber memaklumkan Tengku Razaleigh pernah ditawarkan sebanyak dua kali sebagai calon Perdana Menteri oleh Biro Politik UMNO.

Sementara itu, Sinar Harian turut difahamkan bahawa Ku Li menghantar surat akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong sehari lebih awal daripada tarikh yang diminta berbuat demikian kerana berpegang kepada keputusan dan prinsip awal UMNO supaya tidak menyokong Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan Ku Li telah menghantar surat tersebut ke Istana Negara pada 17 Ogos dan bukan pada 18 Ogos.

Bagaimanapun, selepas beliau berbuat demikian, didapati ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah memutuskan untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri mewakili BN dan UMNO.

Menurut sumber itu, Ku Li melakukan perkara tersebut (iaitu menghantar SD lebih awal) kerana berpegang teguh kepada prinsip yang dibuat oleh parti pada Perhimpunan Agung UMNO dan keputusan MKT sebelum ini.


Tambah sumber itu lagi, kenyataan terbaharu daripada PN yang memberikan sokongan bersyarat kepada UMNO telah menyebabkan ramai ahli parti itu marah dengan apa yang berlaku.

“Nampaknya UMNO kini berada dalam keadaan tersepit selepas PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan syarat pula.

“Malah ada dengar pula usaha untuk menjadikan pemimpin dari PN sebagai Timbalan Perdana Menteri dan meletakkan Muhyiddin sebagai menteri mentor.

“Ini menyebabkan kedudukan UMNO berada di dalam kerajaan yang bakal dibentuk ini bukan seperti yang dihasratkan oleh parti,” ujar beliau.

-UTUSAN