Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam tuntut RM12.5 juta, yuran guaman tidak dibayar parti Bersatu



[Pihak TunCarlos.Com memohon maaf di atas kekhilafan tajuk sebelum ini iaitu "Peguam tuntut RM12.5 juta, yuran guaman tak pernah dibayar Tun M dan Bersatu"]
KUALA LUMPUR: Peguam Haniff Khatri Abdulla telah memfailkan saman terhadap BERSATU bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

Tuntutan tersebut juga dibuat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Saleh Bajuri, yang juga memegang jawatan sebagai bendahari.

Hanif mengemukakan writ pada 17 Julai.

Dalam tuntutannya, beliau berkata wang yang dituntut adalah untuk khidmat guaman sebelum BERSATU ditubuhkan sehingga ia menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Dari 2015 hingga 2016, plaintif (Haniff) berkhidmat sebagai peguam berjuang menggunakan undang-undang menentang kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri pada masa itu iaitu Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya.


“Jadi, berdasarkan falsafah ideologi yang sama plaintif dipanggil oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk memberi nasihat guaman berkenaan dengan undang-undang mengenai pembentukan dan pentadbiran sebuah parti politik.

“Individu berkenaan secara langsung atau tidak langsung telah melibatkan plaintif dan menggunakan khidmat guamannya,” kata kenyataan tuntutan tersebut.

Antara khidmat yang didakwa telah diberikan oleh Haniff kepada parti itu adalah perkara berkaitan pendaftaran BERSATU dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), menguruskan kes-kes mahkamah bagi pihak parti dan juga isu-isu berkaitan penglibatannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Haniff berkata khidmat guamannya dihentikan pada 24 Februari tahun lalu selepas “Langkah Sheraton” yang menyebabkan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan membawa kepada pembentukan PN yang merampas kuasa daripada PH.

“Justeru plaintif memohon khidmat guaman kepada BERSATU yang berakhir pada 24 Februari 2020, apabila BERSATU mencabuli perjanjian dengan komponen Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan

“Dan, BERSATU juga tersasar daripada objektif asalnya untuk mempertahankan hak orang Melayu melalui satu pentadbiran yang beretika dan berintegriti bila ia membentuk pakatan dengan Barisan Nasional (BN), yang terkenal dengan rasuah, salah guna kuasa dan amalan kleptokratiknya,” tambah kenyataan itu.


Haniff berkata pada 11 Januari, satu invois telah dikeluarkan kepada BERSATU, Muhyiddin dan Hamzah.

“Peringatan telah dihantar pada 16 Februari kepada Salleh dan satu lagi yang bertarikh 5 Mac kepada Muhyiddin supaya defendan boleh mengambil langkah proaktif untuk memproses bayaran yang berjumlah RM12.5 juta kepada plaintif.

“Pihak defendan memilih untuk berdiam diri dan tidak pernah menolak isi kandungan invois tersebut.” 

-Getaran