Sultan Selangor terkejut negeri dapat dos vaksin tak sebanyak yang didakwa


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa terkejut dan kecewa baginda apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani berkata baginda bertitah peruntukan itu adalah tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor.

"Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini. 

"Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta," katanya.


Mohamad Munir juga menegaskan Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri terbabit.

Kata Mohamad Munir dalam situasi sekarang Sultan Sharafuddin berpendapat nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

Katanya baginda turut mahu agar jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

"Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Mohamad Munir berkata Sultan Selangor turut memuji langkah kerajaan negeri yang kini agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat.

Pada masa sama katanya baginda kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di Selangor dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.


"Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19," katanya.

Mohamad Munir menjelaskan Sultan Sharafuddin bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai.

Keadaan itu titah baginda sekali gus meletakkan negara dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

Baginda juga, kata Mohamad Munir, merayu rakyat agar terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan.

"Ini termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri," katanya.

-MalaysiaKini

Join our Telegram Channel
Telegram


Sultan Selangor terkejut negeri dapat dos vaksin tak sebanyak yang didakwa Sultan Selangor terkejut negeri dapat dos vaksin tak sebanyak yang didakwa Reviewed by Tun Carlos on June 08, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.