Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

SPM 2020: Berjaya atasi "umpan game", Amir berjaya dapat 11A+


KUALA LUMPUR: Kejayaan melawan 'umpan' permainan video menjadi antara faktor pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Gombak, Amir Zulhadeef Zakaria berjaya memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan pada Khamis.

Menurutnya, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada awalnya seakan-akan satu kejutan apabila terpaksa menahan diri daripada pelbagai tarikan di rumah semasa mengulang kaji pelajaran.

"Kami kumpulan pertama menjawab SPM dalam era pandemik. Semua tingkatan ada masalah sama iaitu cabaran belajar di rumah. Dari tingkatan satu sehingga empat belajar di sekolah, tiba-tiba kena belajar di rumah, ia cabaran terbesar lebih-lebih lagi ia tahun untuk mengambil peperiksaan besar.


"Pada masa itu terikat sepenuhnya dengan peranti, apabila lihat gajet permainan, saya betul-betul terumpan untuk bermain tetapi semuanya saya hadkan kerana perlu menumpukan sepenuhnya kepada ulang kaji dan peperiksaan yang bakal menjelang.

"Untuk faham satu-satu (subjek) juga bukan senang, di rumah saya perlu fokus sendiri berbanding tunjuk ajar cikgu di depan mata semasa di sekolah," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Khamis.

Amir yang juga anak kepada Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (​Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata, unsur-unsur luar berkenaan banyak mencabarnya namun dapat diatasi dengan menguatkan semangat belajar demi kecemerlangan kehidupan pada masa depan.
 
Dalam pada itu Amir bercadang menyambung pengajian di luar negara di dalam bidang ekonomi.

"Saya akan mencari ruang untuk mendapatkan biasiswa sekali gus tawaran ke luar negara.


"Buat masa ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya bercadang membuat persiapan dalam negara dan berdoa dapat terbang ke luar negara nanti.

"Kalau tidak ada apa menghalang, saya mahu sambung dalam bidang ekonomi melalui biasiswa Bank Negara, Khazanah atau sebagaainya," kata Amir berkongsi cita-citanya.

Pada pagi Khamis, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan keputusan SPM 2020 mencatatkan pencapaian calon yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

Beliau berkata, itu merupakan pencapaian terbaik sejak 2016 dengan prestasi calon luar bandar lebih baik berbanding calon di bandar.