Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sembilan maut, detik cemas bangunan runtuh timpa bas dirakam


SEOUL: Sembilan maut dan dua belas lagi parah selepas sebuah bangunan runtuh di selatan Korea Selatan semalam, menyebabkan serpihannya menimpa sebuah bas, lapor media tempatan.

Konkrit daripada bangunan yang sedang dirobohkan ketika itu, menimbus bas berkenaan yang berhenti di sebuah stesen berdekatan tapak pembinaan, kata agensi berita Yonhap.

Pegawai kecemasan yang digegaskan ke tempat kejadian di bandar timur Gwangju berjaya menyelamatkan lapan mangsa yang cedera, kata Agensi Kebakaran Kebangsaan dalam satu kenyataan.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada lapan mangsa itu berada di dalam bas atau bangunan ketika kejadian.


Selain itu, tidak diketahui sama ada terdapat sesiapa di dalam bangunan itu ketika ia runtuh.

Agensi berita Yonhap memaklumkan, kebanyakan mangsa ialah penumpang bas.

Laporan turut menyebut, dua kereta pada awalnya disangka tertimbus di bawah runtuhan namun disahkan oleh pihak berkuasa sebagai terselamat daripada insiden itu.

Pegawai agensi kebakaran berkata, mereka sedang mencari mangsa yang kemungkinan masih terperangkap di bawah runtuhan.

Satu video dari tempat kejadian menunjukkan puluhan pekerja keselamatan yang dilengkapi pengusung dan tuil besi mencari mangsa, manakala mesin pengorek menggali timbunan besar konkrit dan rasuk besi bengkok yang berselerak di atas jalan.


-Agensi