Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Guna gambar kerabat diraja tawar khidmat seks palsu, dua lelaki Nigeria ditahan

Gambar: FMT

KUALA LUMPUR: Dua lelaki Nigeria yang disyaki terbabit dengan sindiket menawarkan perkhidmatan seks tidak wujud ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jenjarom, Selangor Selasa lalu.

Kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, yang menyamar sebagai pelajar jurusan pentadbiran perniagaan di kolej di ibu negara itu, ditahan selepas polis menerima laporan penyalahgunaan gambar seorang kerabat diraja dalam akaun Instagram pada 10 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil siasatan awal polis mendapati akaun Instagram milik suspek dengan nama “vivi.an6939” menawarkan perkhidmatan seks tidak wujud, termasuk perkhidmatan “sugar daddy” dan “sugar mommy”.


Sindiket ini dipercayai menggunakan laman sesawang Asia Dating Hookup dan Alliance Dating Hookup bagi menawarkan perkhidmatan itu serta mendakwa tawaran perkhidmatan itu berdaftar di Malaysia, Singapura dan Dubai.

Katanya, sindiket itu mengenakan bayaran servis seks dari RM6,000 hingga RM8,000 semalam bagi ahli berdaftar untuk mendapatkan perkhidmatan daripada “Sugar Baby” atau "anak ikan".

“Bagi ‘Sugar Baby’ yang ingin bekerja, mereka perlu membuat bayaran pendaftaran sebagai ahli serendah RM400,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman.


Beliau berkata, suspek direman Rabu lalu hingga Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

Dalam perkembangan lain, 24 individu termasuk seorang lelaki tempatan bergelar Datuk ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing membabitkan kerugian lebih RM30 juta Selasa lalu.

Kamarudin berkata, 15 lelaki dan enam wanita tempatan, seorang lelaki Thailand serta seorang wanita Indonesia berumur 25 hingga 57 tahun direman empat hari mulai Rabu lalu hingga Isnin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Poca serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) 2001.” -FMT