Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anak-anak Orang Asli hadapi kesukaran ikuti PdPR, ibu bapa pula buta huruf


BALING: Lebih 70 pelajar anak Orang Asli yang menetap di Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong di sini menghadapi kesukaran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana kebanyakan keluarga mereka tidak mempunyai kemudahan telefon pintar dan capaian internet yang rendah di kawasan tersebut.

Kebanyakan ibu bapa pelajar itu juga hanya mempunyai seunit telefon pintar dan kebiasannya dibawa mereka yang keluar melakukan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah serta mencari hasil hutan.

Tok Batin, Razali Kulim, 42, berkata, keadaan tersebut adalah cabaran kepada pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung itu mengikuti sesi PdPR sejak 20 Januari lalu.


Katanya, dia mendapati beberapa pelajar memberi tumpuan setiap sesi PdPR walaupun terpaksa berkongsi telefon bimbit dengan beberapa rakan yang mempunyai kemudahan peranti tersebut.

Katanya, seramai 50 murid tersebut belajar di Sekolah (SK) Kebangsaan Siong dan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong di sini, lapan di Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah, Ulu Perak, Perak serta dua lagi di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (Pusba) di Sungai Petani, dekat sini.

“Pada masa ini, kesemua pelajar tersebut berada di kampung ini selepas sekolah mereka ditutup sementara berikutan penularan Covid-19 dan belajar menerusi kaedah PdPR.

“Namun kebanyakan mereka tidak dapat mengikut PdPDR kerana tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Masyarakat Orang Asli yang menetap di Kampung Lubok Legong di sini adalah suku kaum Kensui daripada rumpun Negrito dan kampung tersebut satu-satunya perkampungan asal Orang Asli daripada suku kaum Kensui di Semenanjung Malaysia.

Pada masa ini, terdapat seramai 350 orang masyarakat Orang Asli daripada 84 keluarga menetap di kampung berkenaan.

Menurut Razali, pelajar masyarakat Orang Asli di situ terutama yang belajar di sekolah kebangsaan turut berdepan masalah membuat rujukan memandangkan kebanyakan ibu bapa mereka buta huruf.

“Saya menggalakkan mereka belajar secara berkumpulan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan pertukaran,” ujarnya.


Sementara itu, seorang bapa, Sudirman Biak, 38, berkata, dia mempunyai lima anak dan dua masih bersekolah iaitu seorang di tahun empat serta seorang lagi tingkatan satu.

Katanya, kedua-dua anaknya itu tidak dapat mengikuti PdPR dengan sepenuhnya kerana dia mempunyai seunit telefon bimbit sahaja.

“Pada waktu siang, saya membawa telefon pintar itu ketika melakukan kerja-kerja menoreh getah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kamariah Hitam, 26, pula berkata, dia terpaksa mengambil kertas PdPR yang disediakan oleh guru-guru di SK Siong bagi pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kemudahan gajet di rumah.

“Saya menyerahkan semula kertas PdPR disiapkan oleh anak yang belajar di tahun satu kepada guru kelas,” katanya. – UTUSAN ONLINE