Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peniaga online antara diserbu polis, rampasan terbesar dadah seberat 573 kilogram


Georgetown, 26 Disember 2020 - Sindiket pengedaran dadah yang disyaki didalangi warga tempatan tumpas selepas polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 573 kilogram (kg) bernilai RM25.87 juta melalui tiga serbuan di Nibong Tebal dekat sini, pada Isnin hingga Rabu lalu.

Ia adalah rampasan terbesar bagi polis negeri itu sejak awal tahun ini.

Dalam serbuan itu, polis menahan dalang sindiket terbabit iaitu lelaki berusia 37 tahun bersama rakannya berusia 43 tahun.

CP Dato' Sahabudin Abd Manan

Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato' Sahabudin Abd Manan berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan dan Balai Polis Nibong Tebal.


"Dalam serbuan yang dijalankan pada 7 petang hingga 11 malam, polis menahan dalang sindiket dalam sebuah kereta yang berhenti di sebuah lorong antara premis kedai di Taman Perindustrian Nibong Tebal.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 100 bungkusan dadah dipercayai Syabu sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah stor penyimpanan bekalan pelbagai jenis dadah di kawasan taman perumahan berdekatan.

"Hasilnya, sejumlah dadah dipercayai Syabu, serbuk Ecstasy, pil Ecstasy, Heroin Base dan Ketamin," katanya ketika sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini.


Menurutnya, melalui siasatan terhadap dalang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki di Pekan Nibong Tebal yang bekerja sebagai peniaga dalam talian serta dipercayai bersengkongkol dalam aktiviti pengedaran dadah itu.

"Serbuan ketiga tidak menemui apa-apa barang salah bersama suspek.

"Kedua-dua suspek didapati melakukan kegiatan jenayah mereka sejak pertengahan tahun ini," katanya.

Dato' Sahabudin berkata, melalui siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dari negara jiran dan kemudiannya menjadikan Pulau Pinang sebagai kawasan transit sebelum memasarkan semua dadah itu sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan darat.


"Kedua-dua suspek sudah berkahwin dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap dalang sindiket itu positif dadah, manakala rakan sejenayahnya negatif.

"Polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai, wang dalam akaun dan barang kemas dengan nilai sitaan RM234,231.82," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu direman selama tujuh hari bermula 22 Disember lalu hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Harian Metro