Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mesyuarat MT UMNO esok batal


Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan berlangsung esok di Pahang dibatalkan.

Menurut sumber, pembatalan itu dibuat dengan alasan Lembah Klang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ya, mesyuarat MT esok dibatalkan kerana PKPB," katanya kepada Malaysiakini, malam ini.

Pada 16 Ok lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memaklumkan MT Umno akan bertemu pada Selasa ini bagi mengadakan mesyuarat secara bersemuka di satu lokasi tidak didedahkan di Pahang.

Bercakap kepada pemberita di Pontian, Johor, Ahmad berkata, mesyuarat yang sepatutnya diadakan secara sidang video esok itu ditangguhkan memandangkan ahli MT mahu ia dijalankan secara bersemuka.


"Kita memilih Pahang bagi mesyuarat berkenaan, berikutan lokasi di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya seperti dipetik BH Online.

Ahmad bagaimanapun tidak memberikan maklum balas kepada soalan Malaysiakini tentang bagaimana ahli MT yang berpusat di Lembah Klang dapat merentas daerah atau negeri serta menghadiri mesyuarat berkenaan.

Kerajaan pada 12 Okt lalu mengumumkan PKPB dikenakan semula ke atas ke atas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

Antara sekatan di bawah PKPB ialah larangan merentas negeri kecuali untuk hal-hal kecemasan dan kerja.


Mesyuarat MT itu menjadi perhatian banyak pihak memandangkan ia dijangka memperhalusi keputusan biro politik Umno yang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Tambahan pula, mesyuarat itu berlaku di tengah-tengah timbulnya persoalan sama ada Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan yang cukup daripada ahli parlimen untuk terus kekal sebagai perdana menteri atau pun tidak.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan penangguhan mesyuarat itu juga dibuat kerana terkait dengan penyebaran surat sokongan Umno kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kelmarin tersebar satu surat yang didakwa dihantar oleh Umno yang ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan disokong bekas perdana menteri Najib Razak.

Bagaimanapun Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan menafikan surat tersebut dikeluarkan parti itu dan menyifatkannya sebagai tindakan berniat jahat.

Sementara itu seorang MT Umno yang enggan namanya disiarkan turut mengesahkan pembatalan mesyuarat MT esok. -MalaysiaKini