Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bacaan pencemaran tak konsisten, bekalan air belum pulih


Bacaan pencemaran bau di Sungai Selangor masih tidak konsisten pada tahap 0 TON menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang belum boleh beroperasi ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berkata sehingga 2 petang tadi, bacaan itu telah diuji tiga kali berturut-turut di empat loji tersebut berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Sejam yang lepas, Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari menyatakan perasaan syukur kerana tahap bacaan pencemaran di LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 telah mencecah 0 TON.

Alhamdulillah. Saya dimaklumkan tahap bacaan pencemaran di LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 telah...

Posted by Amirudin Shari on Monday, 19 October 2020

Menurut Suhaimi Kamaralzaman lagi, henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan. Air Selangor akan mengumumkan jadual pemulihan apabila loji sudah mula beroperasi.


Beliau berkata pihaknya telah menggerakkan 91 lori tangki air ke premis kritikal serta kawasan perumahan terjejas, selain 34 tangki statik, 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 21 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.

“Pengguna disarankan untuk mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Air Selangor menasihatkan pengguna mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan,” katanya.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman web rasminya www.airselangor.com. -MalaysiaKini