Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

KJ hairan kenapa beliau sahaja dikecam penyokong Najib, bukan Ku Li


Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau hanya menyampaikan pandangan ramai bahawa parti itu harus bergerak ke hadapan susulan keputusan bersalah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Saya setia kepada parti. Saya cuma nyatakan perkara yang ramai sedang fikir cuma mungkin takut untuk sebut,” ujarnya seperti dilapor Utusan Online hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah juga melontarkan pendapat hampir sama, namun hanya beliau menjadi sasaran pengkritik dalam parti itu.


“Tengku Razaleigh cakap benda yang hampir sama. Yakni, minta pemimpin tertentu untuk memberi laluan. Tetapi beliau tidak dikecam macam saya.

"Mungkin mereka takut nak kecam atau perli Ku Li. Mesej sama tapi kerana KJ, pembawa mesej ditembak.

“Saya tidak kisah pembawa mesej ditembak, tapi kalau tidak menghiraukan mesej yang dibawa, Umno akan terus dipandang serong oleh rakyat,” katanya lagi.

Khairy sebelum ini berkata walaupun ahli parti itu berhak menyatakan sokongan terhadap Najib, namun ini adalah masa bagi Umno terus bergerak ke hadapan.


Susulan itu beliau menerima kritikan khususnya daripada kalangan penyokong Najib yang mendakwanya cuba menjadi 'hero' bagi menyelamatkan parti itu.

Terdahulu sebelum itu, Tengku Razaleigh menggesa Najib dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi agar memberi laluan kepada muka baru bagi menerajui parti itu.

Menurut Khairy, beliau tidak berniat bersikap biadab terhadap Najib apabila mengeluarkan kenyataan menggesa parti itu terus bergerak ke hadapan.






“Saya tiada niat untuk biadab terhadap Najib. Beliau ada hak untuk buat rayuan. Saya cuma mahu Umno pandang dan bergerak ke hadapan," jelasnya.

Tambahnya, beliau juga sedar kenyataan tersebut akan mengundang kecaman meskipun hanya 'menyampaikan kebenaran walaupun pahit'.

“Itu perkara biasa apabila kita sampaikan perkara yang benar tapi pahit,” katanya.

-MalaysiaKini